blog
Hanya satu nasihat dari Ayahku
Written by Zaid Bin Ghazali

Merenung kembali permulaan perjalananku menuntut ilmu di Jordan sungguh telah membuatku tersenyum lebar. Pasti ramai di antara kami masih ingat detik-detik terakhir ketika meninggalkan keluarga demi melanjutkan pelajaran ke bumi Syam ini. Inilah sebuah kisah bagaimana nasihat terakhir ayahku dijadikan prinsip peganganku selama aku berada di Jordan.
Sejurus selepas kami sekeluarga tiba di Lapangan Terbang Changi ketika hari keberangkatanku ke Jordan, aku pun segera turun dari kereta. Sambil sibuk menyusun bagasi di troli, bapaku menuju ke arahku.
Beliau hanya memberitahuku bahawa dia harus ke tempat kerja dan tidak dapat menghantar hingga ke pintu keberangkatan. Sambil tersenyum, beliaupun menasihatiku:
“Belajarlah dengan Ulama.”
Jantungku mula berdebar, aku tidak tahu apa yang patut dibalas, makanya aku hanya mengatakan ‘In Syaa Allah’ sambil menzahirkan senyuman tipis lalu bersalaman dengannya. Sebenarnya, mencari Ulama untuk bertalaqqi dan berdamping dengannya di Jordan bukanlah senang – menurut apa yang diberitahu oleh beberapa senior. Sebelum berangkat ke Jordan, aku pun juga telah berusaha mencari kelas ulama yang boleh aku lazimi. Cumanya, tidaklah aku berhasil mendapatkan sebarang informasi kecuali sedikit hinggakan aku berkata kepada diriku:
“Kalau Jordan begini, baik aku duduk di Singapura habiskan masa dengan durus asatizah di sini.”
Pertama kali aku bertapak di Jordan, aku telah menghabiskan masa kira-kira dua bulan untuk mencari dan mengenal pasti ulama yang dipercayai, tempat diadakan pengajian mereka serta mengenal pasti tempat-tempat dan transportasi yang ada di sini. Bayangkan usaha yang harus kita letakkan semata-mata untuk mencari ulama di tempat yang asing bagi kita, pasti ia sebuah cabaran besar. Perjuangan mencari ulama-ulama ini juga belum pernah dilakukan oleh pelajar Singapura lain, dan ini bermaksud tiada sesiapa dari kalangan senior – yang pada waktu itu masih sedikit – yang boleh aku tanya.
Dua bulan kemudian, aku menyimpulkan suatu kaedah mencari ilmu di Jordan iaitu, demi mengetahui di mana keberadaan Ulama X, aku perlu menghadiri kelas Ulama Y. Selain itu, aku cuba mencari kawan yang mana melaluinya boleh aku dapatkan informasi akses kepada ulama. Semuanya ibarat sebuah misi dalam sebuah permainan, di mana kita harus menyelesaikan suatu peringkat yang mana dalamnya penuh dengan misi, untuk ke peringkat yang seterusnya. Hasilnya, aku akhirnya mendapati diriku dalam dilema akan pengajian yang ingin aku lazimi kerana saking banyaknya pengajian di sini.
Lama kemudian, aku baru sedar bahawa sebenarnya ulama Jordan sangat ramai, hanyasanya tidak semua yang digelar ‘aalim’ patut diambil ilmu darinya. Bahkan, antara adab dan syarat yang paling penting dalam menuntut ilmu adalah mengetahui sumber pengambilan ilmu yang benar dan memahami siapa yang layak dijadikan sebagai rujukan dan guru dalam menimba ilmu agama. Cukuplah aku mengongsikan nasihat Ibrahim An Nakha’i rahimahullah tentang kriteria mengambil ilmu dari seseorang guru:
كَانُوا إِذَا أَتَوْا الرَّجُلَ لِيَأْخُذُوا عَنْهُ، نَظَرُوا إِلَى هديه، وَإِلَى سَمْتِهِ، وَ صلاته, ثم أخذوا عنه
“Para salaf dahulu jika mendatangi seseorang untuk diambil ilmunya, mereka memperhatikan dulu bagaimana akidahnya, bagaimana akhlaknya, bagaimana shalatnya, baru setelah itu mereka mengambil ilmu darinya”
Antara kesalahan besar ramai penuntut ilmu di luar sana adalah mempratikkan kaedah ‘asalkan zahirnya aalim, kita perlu belajar darinya’. Ramai di antara ulama kami terdahulu telah menekankan kriteria-kriteria yang membuat seseorang ulama itu layak diambil ilmunya, dan kriteria inilah apa yang aku cuba cari pada ulama-ulama Jordan ketika dua bulan pertama aku berada di Jordan.
Saudaraku, sangat aku harapkan bahawa nasihat yang dikongsi ayahku ini sekurang-kurangnya dapat membuka mata anda akan peluang-peluang yang tersedia untuk menuntut daripada pewaris Nabi ﷺ. Sementara terdapat ramai orang mengharapkan agar mereka dapat menuntut ilmu daripada ulama tetapi tidak mampu atas dasar kesihatan atau kewangan atau kesuntukan masa, kita pula melepaskan peluang ini sewenang-wenangnya. Seseorang yang tidak terbiasa dengan budaya ‘keluar mencari ilmu’ ini, tetapi ingin menempuhnya, maka nasihatku adalah: Carilah satu ulama dan hadiri kelasnya seminggu sekali sahaja dan jangan mulakan perjalanan ini dengan menghadiri semua kelas yang ada di luar sana kerana ini akan membuatmu penat dan bosan, dan kebosanan mengakibatkan peninggalan sesuatu itu secara total – na’uzubillahi min zaalik-, terutama bagi mereka yang ingin berjinak dengan budaya ini. Juga, ketahuilah bahawa sistem pembelajaran tradisional ini tidak sama sekali dengan muhadharah (kelas-kelas) di Universiti, sama sekali.
Beginilah kisah bagaimana sepotong ayat dapat dijadikan prinsip serta bahan bakar untuk memacu semangatku selama aku berada di Jordan.



