top of page

blog

Lemas Dalam Dugaan

Written by Muhammad Naashiruddiin

Bin Khamis

Ocean

Aku percaya bahawa tiada siapa yang boleh lari daripada dugaan mahupun bebas daripadanya. Akan tetapi, setiap dugaan yang dihadapi itu pasti ada penyelesaiannya. Aku juga percaya bahawa setiap orang mampu menghadapi setiap dugaan yang dihadapi kerana Allah SWT tidak akan menguji hambanya luar daripada kemampuannya.

 

Lima bulan sebelum aku berangkat ke Jordan, aku ditimpa satu dugaan yang luar dari sangkaanku dan juga amat berat bagiku menerimanya sehingga aku merasakan bahawa tiada tujuan lagi bagiku untuk meneruskan kehidupanku. Ibuku meninggalkan diriku dan seluruh keluargaku buat selama-lamanya. Aku merasakan seperti air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Begitulah perasaanku. Aku mencari semula semangatku yang sudah hilang hampir sebulan. Hatiku remuk. Selepas ditimpa dugaan itu, aku hampir-hampir ingin membatalkan pembelajaranku ke Jordan. 

Flower Bouquet

Akan tetapi, peganganku tetap kekal berdiri bahawasanya setiap dugaan pasti ada penyelesaiannya. Bersama sokongan yang tiada pengakhirannya dari setiap rakanku serta orang-orang tercinta termasuklah keluargaku sendiri, ku diberikan kekuatan semula untuk bangkit dan meneruskan azamku. Sejak itu, aku berazam untuk bekerja lebih keras dan lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaranku supaya tidak mengecewakan setiap orang yang meletakkan kepercayaan padaku terutamanya ibuku. 

 

Aku juga percaya yang setiap dugaan akan meninggalkan kesan pada orang yang menghadapi dugaan tersebut. Oleh itu, terdapat pelbagai kesan yang aku dapati sehingga ia menimbulkan perubahan pada diriku. Perubahan yang dialami itu bukan sekadar untuk diriku sahaja namun setiap pelajar ataupun individu harus ada perubahan tersebut.

Student in Library

Pada suatu ketika dahulu, malas dan mementingkan diri sendiri adalah antara sifat yang telah sebati di dalam diriku. Namun, setelah kejadian itu, aku berazam untuk menjadi lebih rajin dan juga memikirkan orang yang ada di sekelilingku kerana aku berpegang kepada sebuah kata-kata yang berbunyi, jika tidak boleh menyenangkan orang, jangan pula menyusahkan orang. Aku percaya bahawa dua sifat ini adalah penting bagi setiap pelajar terutamanya yang ada di luar negara kerana ia akan menyenangkan dan juga membantu kita dalam menyelesaikan setiap tanggungjawab yang kita pikul, tidak kira urusan sekolah mahupun urusan di rumah. Secara tidak langsung, ia menimbulkan kesedaran pada diriku bahawa aku harus mempunyai akhlak yang mulia kerana aku membawa nama baik ibu bapaku ke mana-mana sahaja. Disamping itu, ia juga memberi peringatan padaku untuk senantiasa bersyukur dengan kehadiran setiap insan yang ada di sekelilingku, tidak kira keluarga mahupun teman-teman kerana seringnya manusia akan mula belajar menghargai selepas kehilangan apa yang ada pada dirinya.

 

Akhir kata daripadaku ialah, walaupun sebesar mana dugaan kita hadapi pasti ada jalan penyelesaiannya, bak kata pepatah, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Hargailah setiap sesuatu yang hadir di dalam hidup kita sebelum penyesalan menimpa di hari kelak.

  • LinkedIn
  • Instagram
  • Black Facebook Icon
  • Black Twitter Icon
  • Black YouTube Icon

© 2024 by SIRAJ

bottom of page