blog
Tangisanku Dikira
Oleh Tuhan
Tulisan Zahratur Rofiqah
Aku
Istimewa di mata Tuhan
Juga di mata hakiki manusia
Kekuatanku luar biasa
Keindahan yang tertakluk pada diriku Termasuk sebaik-baik ciptaanNya
​
Aku
Adalah sebuah surah dalam Kitab Tuhan
Seorang ibu pembimbing bangsa Seorang anak penjamin syurga
Seorang isteri kunci kesempurnaan amal
Seorang manusia cermin keindahan Tuhan
Seorang srikandi perisai bukan hanya pada pedang mata
​
Aku
Selalu menjadi mangsa pemikiran tak berpaksi
syariat Ilahi.
Dikebumikan ketika jahiliyah
Dikolotkan ketika di rumah
Dimurahkan ketika menjadi bahan bicara
Diketawakan ketika mengejar cita-cita
Dikecilkan ketika bersuara
Dicemuh ketika salah langkah
Didirikan ketika selesa duduk
Didudukkan ketika bangkit berarah
Aku Berharga serta pemilik tingginya nilai
Tetapi nilaiku bukan di neraca manusia
Nilaiku pada Mata Yang Esa Diberi mulia, dianugerah rumah
sementara roh yang berjanji sumpah setia pada tauhidNya
Andai semua tahu hakikat Aku
Dan kedudukanku yang diberi
Maha Bijaksana
Tidak ada yang berani
Mengatakan sebaliknya
Aku
Juga tanah yang sering kering dahaga
Kadangkala menjadi tapak pohon berbunga
Mencari bayu lembut walau berdebu
Tanah yang mencerminkan asal
Direbut selalu, dibiarkan juga bukan sekali
Tidak semua memahami erti kesucian tanah ini
Dipijak sudah menjadi lali
Dikagumi, hanya sahaja mereka menjumpai erti Bahawa aku bukan barang dijual beli
Aku hamba Tuhan Maha Mengasihi
Akan dibela di sini dan di akhirat nanti.
Tawaku penghias langit
Ilmuku obor rakyat dunia
Tanganku membelai jutaan jiwa
Sakitku berombak duka
Doaku syarat tiada, diterima
​
Aku Ada pada wasiat terakhir Baginda SAW
Memaknai muhasabah tiap suasana dan ketika
Baginda SAW tahu Istimewa aku tidak semua yang peka
Hanya sahaja ramai lagi yang merenung;
Supaya takhta bukan pada hanya sebuah kepala
Takhta diberi ikut perintahNya
Tanggungjawab dipikul sesuai syariatNya
Sesuai Amanah yang ditulis tintaNya
Aku
Tidak minta puisi dibaca
Berteman simpati dan duka
Hanya harapanku
Sama-sama ilmu dijunjung
Perilaku mencerminkan berkah
Sama-sama mendahulukan status hamba
Sebelum pangkat dunia menjadi kira
Andai esok ditanya kenapa
Jawapan biarlah diri telah mencuba Memperjuangkan amanah menerusi islah
Sebaiknya mencorak masa depan yang cerah
Aku
Rusuk namun bukan untuk dipatahkan
Bukan juga untuk dibulatkan Ianya simbol untuk manusia berhikmah
Menerima rupa menghayati erti
Kerana bengkoknya rusuk bukan kelemahan
Bahkan bengkoknya rusuklah yang melindungi hati
Yang memagari degupan nadi
Jadi janganlah aku engkau sakiti
kerana tangisanku dikira oleh Tuhan
Yang Saksama Mengadili
renungkanlah wahai yang masih bertanya tentang
Aku
